SEJARAH

Saturday 11 December 2010

SEJARAH DAERAH KEMAMAN

Kemaman dikenali sejak kurun kedua sebelum Masihi oleh Ptolemy (Ahli Kaji Bintang dan Ilmu Alam Greek) yang mencatatkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur iaitu Perimula (Kuala Terengganu) dan Kole (Kemaman). Dari segi sejarah tempatan, Daerah Kemaman mula diterokai kira-kira 300 tahun lalu oleh Che Wan Teh berketurunan bangsawan Pahang yang berhijrah dari Kuala Pahang berikutan kekacauan dan huru-hara di sana. Beliau telah membuka penempatan pertama di Kampung Bukit Mengkuang. Setelah itu, Che Wan Teh telah berpindah dan membuka perkampungan di Tanjung Geliga. Walau bagaimanapun, penempatan ini sering diancam lanun dan perompak yang menyebabkan Che Wan Teh dan pengikutnya sekali lagi berpindah dan meneroka kawasan baru di Kampung Cukai.
Pembukaan Daerah Kemaman juga dikaitkan dengan bangsawan Patani yang dikenali sebagai Lebai Saris pada awal abad 19, semasa Terengganu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Syah I (1808-1830). Lebai Saris dan pengikutnya telah datang ke Kemaman dan menerokai kawasan penempatan Kampung Nyiur. Lebai Saris juga dikatakan sebagai orang yang telah memberi perkataan “Kemaman” iaitu gabungan perkataan-perkataan “Kera” dan “Pokok Maman”. Tidak dapat dinafikan bahawa Lebai Saris telah memainkan peranan penting dalam pembukaan Daerah Kemaman secara lebih meluas di antaranya Kampung Mak Cili, Kampung Mak Dagang, Kampung Pasir Tengku dan Kampung Jabor. Penduduk Daerah Kemaman semakin bertambah dan kekuasaan Lebai Saris semakin terserlah. Dengan itu, timbul fitnah mengatakan bahawa Lebai Saris tidak mahu tunduk lagi kepada Yang DiPertuan Terengganu. Oleh itu,Sultan Ahmad telah menghantar Engku Kembal untuk menentang Lebai Saris yang diketuai oleh anaknya Abu Bakar. Dengan tipu muslihat, Engku Kembal telah berjaya menewaskan Lebai Saris dan anaknya dan keduanya telah dianggap penderhaka dan telah dihukum sula dengan suda nipah.


Peristiwa penentangan Lebai Saris telah menyedarkan pemerintah Terengganu mengenai masalah kelonggaran kawalan terhadap daerah jajahan yang terletak jauh dari pusat pentadbiran. Seorang Wakil Raja telah dilantik bagi mentadbir Daerah Kemaman. Di bawah Wakil Raja, lebih banyak lagi penempatan baru dibuka terutama di kawasan hulu sungai. Pembesar-pembesar ditugaskan untuk mengutip cukai ke atas penduduk seperti cukai kepala dan cukai perlombongan. Kemasukan masyarakat Cina pada awal 1820an telah menyebabkan lebih banyak kawasan lombong bijih di kawasan pendalaman di buka seperti Sungai Ayam, Sungai Bandi dan Sungai Kajang. Kumpulan pertama pelombong Cina diketuai oleh Choon Teng atau dikenali sebagai Che Teng. Bagaimanapun, kuasa autonomi pemerintah Kemaman mula tergugat dengan kemasukan agen British berikutan Perjanjian 1910 di antara Sultan Zainal Abidin III dan pihak British. W. Conlay (1910-1911), agen British yang pertama di negeri Terengganu telah merangka peraturan dan penyusunan semula pentadbiran negeri.
Atas nasihat Agen British, Sultan telah bersetuju untuk mengurangkan autonomi pembesar secara beransur-ansur. “Peraturan 1912” telah mensyaratkan semua pembesar daerah mesti bertanggungjawab kepada Kerajaan Pusat di Kuala Terengganu. Seterusnya pada 1914, kuasa autonomi Dato’ Lela, En.Abdul Rahman bin Ishak (Pemerintah Kemaman ketika itu) dengan rasminya dimansuhkan dan gelaran “Wakil Raja” atau “Pemerintah Kemaman” diganti dengan gelaran “Pesuruhjaya Jajahan”. Serentak dengan itu, hak menyimpan hasil kutipan cukai ditarik balik dan semua kutipan cukai daerah iaitu Cukai Eksport dan Import, Cukai Banci dan Cukai Kerah diserahkan kepada Perbendaharaan Negeri di Kuala Terengganu. Sebagai ganti, Pesuruhjaya diberi gaji tetap bulanan sebanyak 75 ringgit dan dinaikkan kepada 150 ringgit pada 1917. Penduduk Daerah Kemaman telah bertambah dan kekuasaan Lebai Saris semakin terserlah. Berikutan itu, timbul fitnah mengatakan Lebai Saris tidak mahu lagi tunduk kepada Yang Di Pertuan Terengganu. Oleh itu, Sultan Ahmad telah menghantar Engku Kembal untuk melawan kekuatan Lebai Saris yang diketuai oleh anaknya, Abu Bakar. Dengan tipu muslihat, Engku Kembal telah berjaya menewaskan Lebai Saris dan anaknya. Kedua-duanya dianggap penderhaka dan dihukum sula dengan suda nipah.
Kemasukan pengaruh British di Terengganu telah menyebabkan sistem pentadbiran tradisional mengalami perumahan yang drastik. Dalam masa yang sama, turut menimbulkan kesedaran di kalangan pemimpin masyarakat tempatan terhadap kepentingan pendidikan. Di Kemaman, sekolah Melayu pertama iaitu Sekolah Melayu Cukai telah dibina pada tahun 1916 oleh Dato’ Lela (Pesuruhjaya ketika itu). Peruntukan dan segala perbelanjaan termasuk gaji guru dibiayai sepenuhnya oleh Dato’ Lela sendiri. Selepas persaraan Dato’ Lela pada tahun 1924, jawatannya diambil alih oleh En. Da Omar Mahmud (Dato’ Jaya Perkasa) sebagai Pesuruhjaya Jajahan. Serentak dengan itu, seorang Pentadbir Kanan British telah dilantik secara rasminya bagi menasihati dan membanti Dato’ Jaya Perkasa dalam urusan pentadbiran Daerah Kemaman.

Sebelum Perang Dunia Kedua, Daerah Kemaman juga dikenali Jajahan Timur yang mengandungi empat buah daerah iaitu Cukai, Kijal, Kemasik dan Kerteh. Daerah Dungun (termasuk Paka) juga diletakkan di bawah pentadbiran Pesuruhjaya Kemaman sehinggalah Dungun dipisahkan sebagai daerah berasingan pada tahun 1938 atas nasihat Pentadbir Kanan British yang pertama ketika di Kemaman iaitu J.V Cowgill. Peringkat awal kedatangan Cowgill di Kemaman telah menggambarkan niatnya untuk membolot kuasa orang Melayu di Kemaman. Oleh itu, langkah awal yang telah dibuat ialah menasihat Pesuruhjaya untuk menghapuskan jawatan Naib Pesuruhjaya dan sedikit demi sedikit mula mengambil alih secara langsung urusan pentadbiran perlombongan, pertanian, pentadbiran tanah dan cukai di Daerah Kemaman.

Lanjutan daripada itu, Penasihat British memperkenalkan Peraturan Tanah 1918 yang melarang penerokaan tanah baru tanpa kebenaran bertulis daripada Pejabat Tanah. Kawasan (tanah) yang belum diterokai dahulunya dipanggil “Tanah Raja” dan kini dikenali sebagai Tanah Kerajaan. Tanah di daerah ini turut dibuat bancian dan pertama kali dilakukan pada tahun 1929. Ekoran daripada itu, Kerajaan telah mengeluarkan arahan mewajibkan setiap peneroka tanah kerajaan mendapat permit TOL (Temporary Occupation Licence) dan membayar sewa kepada kerajaan. Pada tahun 1938, undang-undang “Hak Milik” tanah diperketatkan lagi bagi memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja dipertimbangkan dan dikenakan cukai.

Sekali dengan itu, campurtangan Penasihat British dalam urusan pentadbiran turut mendatangkan perubahan dari segi infastruktur. Sistem ekonomi yang lebih sistematik telah membolehkan jalan raya dibina di antara daerah-daerah di Kemaman. Kemudahan ini telah melicinkan urusan pentadbiran dan pada 1938 daerah-daerah kecil (Kijal, Kemasik dan Kertih) diturunkan taraf kepada mukim dengan ditadbir oleh Penghulu. Pada tahun itu juga, Undang-undang Tanah diwartakan dengan mensyaratkan semua jenis tanah di bawah pentadbiran mukim tidak boleh dijual kepada orang bukan Melayu. Di samping itu, sistem pendidikan, kemudahan kesihatan, jaringan infrastruktur dan sistem pentadbiran mengalami perubahan dan dipertingkatkan.

Bagaimanapun, kemasukan kuasa Jepun pada Disember 1941 menyebabkan usaha-usaha pembangunan sosio-ekonomi terbantut. Dari segi politiknya, kemasukan kuasa Jepun mengembalikan semula kuasa orang Melayu di Kemaman, pemerintah Jepun melantik seorang “Nippon Kimurai” sebagai pengganti Penasihat British. Kuasa autonomi kembali semula kepada Pesuruhjaya Jajahan Daerah ketika itu iaitu Tengku Pekerma Wira. Kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh pegawai Inggeris itu diisi oleh orang Melayu.

Di sebalik pemulihan kuasa ini, masyarakat setempat malah di seluruh negeri mengalami kesengsaraan. Keadaan ekonomi semasa menjadi lumpuh seperti hasil pertanian, perladangan dan perlombongan yang merosot mengakibatkan pendapatan kerajaan terjejas teruk. Keadaan ini menyebabkan usaha-usaha pembangunan terutama kemudahan infrastruktur terhenti terus. Bagi menambah pendapatan, kerajaan Jepun mula menaikkan kadar cukai sehingga membebankan rakyat jelata.

Kekalahan Jepun dan kemasukan semula British pada 1945 membawa perubahan serta penyusunan semula dalam pentadbiran Negeri Terengganu amnya dan Daerah Kemaman khasnya. Pada akhir 1945, jawatan Pesuruhjaya Jajahan dimansuhkan dan diganti dengan Jawatan Pegawai Daerah manakala jawatan Penolong Penasihat ditukar kepada Pegawai Komisioner Pentadbiran Daerah.

Fenomena ini terus bergerak pantas, meninggalkan detik silam yang memilukan menuju alaf yang akan datang. Apa yang pasti langkah awal Che Wan Teh meneroka rimba sebagai penempatan dan Lebai Saris mula mengorak langkah pembangunan, untuk itu adalah menjadi tanggungjawab generasi sekarang untuk meneruskan amanah yang ditinggalkan. KEMAMAN perlu terus maju kerana titisan keringat lalu menuntut generasi yang ada melestarikan daerah keramat untuk umat sejagat dan demi agama, bangsa dan negara.

(Dipetik daripada :- Muzium Negeri Terengganu)

No comments:

Post a Comment