SEJARAH

Saturday 11 December 2010

SEJARAH PENUBUHAN TABUNG HAJI

Permulaan Tabung Haji bermula dengan niat suci iaitu ingin membantu masyarakat Islam Malaysia khasnya di kawasan luar bandar dalam menunaikan Rukun Islam yang kelima iaitu Mengerjakan Haji.


Cara masyarakat luar bandar dahulu yang menyimpan wang dan bergolok gadai untuk mengumpul wang untuk perbelanjaan ke Tanah Suci Mekah mendesak penubuhan satu institusi yang terurus bagi membantu dan menguruskan proses menunaikan fardhu haji.Hasil penerimaan kertas kerja daripada Yang Mulia Prof. Di Raja Ungku Aziz yang bertajuk “Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji” pada tahun 1959 telah mewujudkan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji pada tahun 1963 dan perbadanan ini telah mula beroperasi pada 30 September 1963.


Untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan dan kemudahan kepada bakal-bakal haji, pada tahun 1969, perbadanan tersebut telah dicantumkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang dan dengan itu lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau secara ringkasnya LUTH yang telah ditubuhkan di bawah Akta 8, Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969.


Pada 1 Jun 1995 akta baru Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dikuatkuasakan. Nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji telah ditukarkan kepada Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997. Huruf TH diperkenalkan sebagai nama singkatan untuk institusi ini.

Warna HITAM menunjukkan warna Ka’abah apabila ia diselubungi kain Kiswa (Kelambu Ka’abah). HIJAU dikenalpasti sebagai warna korporat TH dan PUTIH melambangkan kebersihan dalam Islam dan ianya menjadi asas dalam segala aktiviti TH.

Pada 30 September 2009, setelah 46 tahun menongkah segala arus pemodenan baik dari segi pentadbiran dan pengurusannya, TH telah memantapkan lagi penampilan logonya selaras dengan keadaan perniagaan semasa yang lebih kompetitif dan berkait dengan pergerakan ekonomi global.

 Dalam mengharungi segala keadaan ekonomi, TH telah dan sentiasa membuktikan kepada sejarah bahawa ia mampu berdiri teguh sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang unggul di dunia. Jika diimbas kembali, jumlah simpanan pada tahun 1963 iaitu tahun permulaan penubuhannya, TH mempunyai seramai 1,281 orang pendeposit dengan jumlah simpanan sebanyak RM46,000.00 yang mana pada ketika itu hanya 3 pejabat sahaja beroperasi. Pada akhir tahun 1997, TH telah mencatat kejayaan mengumpul pendeposit seramai 3.2 juta orang dan jumlah simpanan adalah sebanyak RM5.7 bilion. Sehingga berakhirnya tahun 2009, TH telah mempunyai lebih dari 5.1 juta pendeposit dan jumlah simpanan melebihi RM21 bilion yang mana pada masakini lebih 120 pejabat cawangan TH telah beroperasi di seluruh Malaysia.

Dalam usaha meningkatkan jumlah pendeposit, TH terus mengorak langkah dalam memperkenalkan skim-skim dan sistem baru dalam pengurusan perkhidmatan kepada pelanggan selaras dengan menyerapkan konsep 1Malaysia ke dalam pentadbirannya di bawah prinsip 1TH yang menuntut “Pendeposit Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. TH juga akan memberi penekanan kepada sektor pemasaran terutama dalam kempen-kempen kesedaran dan pengetahuan kepada umat Islam tentang kelebihan dan kekuatan TH untuk faedah bersama yang mana TH juga mampu meningkatkan taraf ekonomi umat Islam supaya lebih berdaya maju.
Dengan berbekalkan segala usaha-usaha yang gigih dari pucuk pimpinannya serta anggotanya yang begitu komited, berdedikasi, inovatif dan cemerlang, Insya-Allah TH mampu mencapai wawasannya dengan jaya.
Untuk keterangan lanjut berkaitan Tabung Haji, anda boleh melayari laman web seperti di bawah :-

No comments:

Post a Comment